Wednesday, August 11, 2010

Slide Pembentangan Kajian Tindakan (Assignment 2)

Berikut adalah Slide Pembentangan Bagi Ulasan Kajian Tindakan yang bertajuk "Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 1 Dengan Latih-Tubi Menggunakan Kad Suku Kata Dan Gambar"

Lampiran Kajian Tindakan

Berikut merupakan Lampiran bagi Kajian Tindakan yang bertajuk "Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 1 Dengan Latih-Tubi Menggunakan Kad Suku Kata Dan Gambar"

Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 1 Dengan Latih-Tubi Menggunakan Suku Kata Dan Gambar

Wednesday, August 4, 2010

Tugasan 1 (Ulasan Kajian Tindakan)

Tugasan 1 ini merupakan ulasan bagi jurnal kajian tindakan yang telah dilaksanakan oleh Guru. Kami telahpun memilih satu jurnal yang bertajuk "Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 1 Dengan Latih-Tubi Menggunakan Kad Suku Kata Dan Gambar". Cikgu Roziah merupakan pengkaji kepada permasalahan ini.


....................................................................................................................................


Kajian Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-Murid Tahun 1 Dengan Latih-Tubi Menggunakan Suku Kata Dan Gambar


Laporan ini merupakan rumusan kepada kajian tindakan yang bertajuk “Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-murid Tahun 1 Dengan Latih-tubi Menggunakan Suku Kata dan Gambar”. Kajian ini, telah dibuat oleh Cikgu Roziah Binti Abd Hamid, seorang Guru yang mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut, Pahang Darul Makmur. Dapatan kajian ini diperolehi daripada sumber rujukan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Professionalisme Perguruan (2004) iaitu Jurnal Kajian Tindakan Guru yang diletakkan di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu (http://apps.emoe.gov.my/ipba/rdipba/cd1/article32.pdf) (Muka Surat 92-99).

Rasional kajian tindakan ini adalah berdasarkan pemerhatian pengkaji terhadap ujian bacaan yang telah dijalankan ke atas murid Tahun 1 Murni pada kelas Bahasa Melayu yang di bawah kendalian pengkaji. Seramai 27 orang pelajar terlibat dengan ujian tersebut. Namun, kegagalan 10 orang pelajar untuk menguasai ujian bacaan tersebut telah menyebabkan pengkaji mengambil langkah untuk menjalankan kajian ini bagi memastikan pelajar-pelajarnya dapat menguasai kemahiran membaca. Kelemahan mereka adalah tidak pandai membaca dan sesetengah dari mereka tidak dapat menguasai kemahiran mengeja suku kata. Sehubungan itu, pengkaji telah mengambil langkah menjalankan pengumpulan data melalui pemerhatian, Ujian Pra dan Ujian Pasca bagi mengenalpasti masalah dan punca yang menyebabkan murid Tahun 1 Murni amat lemah dalam kemahiran mengeja dan membaca.

Refleksi Isu Kajian

Pn Roziah telah membuat beberapa tinjaun awal. Ujian awal iaitu Ujian Pra bacaan telah dijalankan ke atas 27 orang murid Tahun 1 Murni. Pembacaan cerita pendek dijadikan satu cara bagi mengenal pasti masalah pembacaan di kalangan pelajar. Hasilnya, seramai 10 orang pelajar tidak pandai membaca cerita pendek tersebut. Ini kerana, mereka tidak pandai menyebut suku kata KV + KVK dan KV + KVKK yang terdapat di dalam cerita pendek tersebut.

Objektif Kajian

Bagi meningkatkan kemahiran membaca murid-murid Tahun 1, terdapat tiga objektif dalam kajian tindakan yang dijalankan oleh pengkaji iaitu dengan menggunakan kad suku kata dan gambar, menilai keberkesanan penggunaan kad suku kata dan gambar serta merancang tindakan untuk mengatasu masalah membaca.

Kumpulan Sasaran Kajian

Pengkaji telah memilih 10 orang responden iaitu 2 orang murid perempuan dan 8 orang murid lelaki Tahun 1 Murni dalam lingkungan umur 7 tahun sebagai bahan kajian. Pemilihan responden dalam kajian ini adalah berdasarkan ujian pra membaca yang telah dibuat di mana, pelajar ini telah gagal untuk menguasai kemahiran membaca cerita pendek dengan baik. Malah ada seorang pelajar yang langsung tidak boleh membaca .

Instrument Kajian Tindakan

Instrument yang digunakan dalam kajian tindakan ini ialah Ujian Pra dan Ujian Pasca Bacaan di mana pelajar akan diberi satu markah bagi setiap perkataan yang dibaca dengan betul. Soalan Pra dan Soalan Pasca adalah berbeza tetapi masih menggunakan kaedah mengeja suku kata yang sama.

Langkah-Langkah Kajian Tindakan

Langkah-langkah kajian dijalankan selama tiga minggu bermula pada 11 April 2005 hingga 25 April 2005. Di mana, setiap minggu ujian yang berlainan akan dijalankan. Pada minggu yang pertama, ujian yang dijalankan adalah ujian mengeja dua suku kata KV + KV dan ujian mengeja tiga suku kata KV + KVK + KV, KVK + KV + KV. Dalam ujian ini, guru akan menunjukkan gambar dan meminta murid menamakan gambar, dan guru mengedarkan kad huruf dan meminta murid menyusun huruf supaya menjadi perkatan yang bermakna, serta murid diminta membaca perkataan yang telah disusun.

Pada minggu yang kedua pula, pelajar diminta meneliti semula gambar yang diberikan kemudian diminta mengeja perkataan berpandukan gambar yang diberikan. Kemudian pelajar juga akan melakukan latih-tubi mengeja perkataan-perkataan berpandukan gambar dan mengenalkan perkataan-perkataan baru. Seterusnya pelajar akan diminta untuk mengeja perkataan sambil menutup sebelah mata mereka.

Manakala pada minggu yang ketiga pula, guru akan mengenalkan kepada murid beberapa ayat mudah daripada perkataan yang telah dipelajari serta membimbing murid untuk membaca ayat mudah dan kemudian menjalankan akitiviti latih-tubi dan ujian membaca ayat mudah yang diberi. Aktiviti tersebut dijalankan kepada pelajar yang masih belum menguasai kemahiran mengeja, membatang suku kata dan membaca dengan lancar. Manakala pelajar yang telah menguasai kemahiran membaca akan diberikan ayat pendek yang lain.

Pengumpulan Data

Dari aspek pengumpulan data pula, instrumen-instrumen kajian iaitu Ujian Pra dan Ujian Pasca dijalankan pada tempoh yang ditetapkan, dan soalan Pra dan Pasca juga adalah berbeza tetapi masih menggunakan kaedah mengeja suku kata yang sama bagi menilai tahap penguasaan kemahiran mengeja, membatang suku kata dan seterusnya membaca ayat pendek. Ujian Pra dijalankan selama dua hari iaitu 9 hingga 10 Mac 2005, dengan setiap murid diberikan masa selama 10 minit untuk membaca dan mengeja 10 suku kata. Manakala bagi Ujian Pasca pula, ujian dijalankan selama 3 hari iaitu pada 2 hingga 4 Mei dengan setiap murid diberikan masa selama 10 minit untuk membaca dan mengeja 10 suku kata yang diberikan.

Analisis Data

Selepas tamat langkah-langkah ujian yang dijalankan selama tiga minggu, analisis data menunjukkan perbezaan keputusan yang berbeza. Bagi ujian bacaan 1 suku kata, keputusan analisis menunjukkan peningkatan sebanyak 40% iaitu markah keseluruhan pelajar adalah sebanyak 26 markah (50%) pada Ujian Pra dan 36 markah (90%) pada Ujian Pasca. Dalam ujian bacaan 2 suku kata, keputusan analisis juga menunjukkan peningkatan sebanyak 40% iaitu markah keseluruhan pelajar adalah 17 markah (20%) pada Ujian Pra dan 31 markah (60%) untuk Ujian Pasca. Manakala bagi ujian membaca 3 suku kata pula, keputusan analisis menunjukkan peningkatan sebanyak 20% iaitu markah keseluruhan pelajar adalah sebanyak 9 markah (0%) pada Ujian Pra dan 17 markah (20%) bagi Ujian Pasca.

Refleksi Kajian Tindakan

Refleksi kajian tindakan ini menampakkan hasil yang memberangsangkan di mana pencapaian dan penguasaan pelajar terhadap kemahiran membaca dengan mengunakan kad suku kata dan gambar telah dapat dipertingkatkan. Walaupun pada mulanya terdapat kesukaran dalam menjalankan kajian tindakan ini, iaitu masalah masa, kerjasama dari guru mata pelajaran lain, kerjasama daripada pelajar dan juga masalah pelajar yang buta huruf, tidak boleh membatang perkataan, mudah lupa apa yang telah dibaca dan tidak memberi tumpuan terhadap aktiviti yang dijalankan. Namun, masalah dalam kajian tindakan ini telah dapat diatasi dan menampakkan hasil yang memberangsangkan.


Analisis Kajian Berdasarkan Model Kajian Tindakan Stephen Kemmis


Kami cuba melihat perkaitan antara kajian tindakan yang dijalankan oleh pengkaji dengan Model Kajian Tindakan Stephen Kemmis


Model Kajian Tindakan Stephen Kemmis

Peringkat Diagnosis
Pada peringkat ini, Model Stepen Kemmis menyatakan perlunya pengenalpastian masalah sebelum membuat kajian ke atas sesuatu isu atau permasalahan yang ingin dikaji. Seterusnya, data dikumpul bagi tujuan diagnostik. Dalam kajian tindakan yang telah dibuat, Cikgu Roziah telah mengenalpasti masalah melalui ujian membaca cerita pendek, dan mendapati seramai 10 orang pelajar bermasalah dalam mengeja suku kata dan mengingati ayat yang telah dibaca.

Peringkat Perancangan Tindakan
Pada peringkat ini pula, Model Stephen Kemmis menyatakan bahawa selepas diagnostik, pengkaji perlu merancang tindakan yang bersesuaian dengan permasalahan. Bagi peringkat ini, Cikgu Roziah telah mencadangkan penggunaan kaedah latih tubi menggunakan suku kata KV + KVK, dan KV + KVKK serta kad gambar untuk menyelesaikan masalah membaca di kalangan pelajar kelas beliau.

Peringkat Mengambil Tindakan
Model Stephen Kemmis menyatakan peringkat ini memerlukan pengkaji
memilih tindakan yang sesuai dan melaksanakan tindakan bagi menyelesaikan permasalahan yang ingin dikaji. Cikgu Roziah telah memilih kaedah Ujian Pra dan Ujian Pasca sebagai langkah yang sesuai dalam melaksanakan kajian tindakan ke atas pelajar yang dikenalpasti bermasalah dalam penguasaan kemahiran membaca.

Peringkat Menilai
Model Stephen Kemmis pada peringkat ini menekankan penganalisaan terhadap kesan atau keberkesanan tindakan yang telah dijalankan terhadap permasalahan yang dikaji. Setelah analisis mengenai tindakan yang dilakukan, Cikgu Roziah mendapati peningkatan dalam pencapaian pelajar dalam menguasai kemahiran membaca telah meningkat. Ini adalah berdasarkan keputusan Ujian Pra dan Ujian Pasca yang menunjukkan peningkatan.

Keputusan Kajian Tindakan
Pengakhiran bagi Model Stephen Kemmis adalah hasil daripada kajian yang dilakukan oleh penyelidik. Dalam kajian ini, Cikgu Roziah telah memperolehi keputusan yang memberangsangkan di mana semua murid yang sebelum ini mengalami masalah membaca suku kata dapat menguasai kemahiran membaca dengan baik.

Penutup

Kesimpulannya, kami berpendapat kajian tindakan yang telah dijalankan oleh Cikgu Roziah Abd Hamid yang bertajuk “Meningkatkan Kemahiran Membaca Murid-murid Tahun 1 Dengan Latih-tubi Menggunakan Suku Kata dan Gambar” ini telah berjaya membantu murid Tahun 1 Murni meningkatkan kemahiran membaca dengan lancar. Kesabaran dan komitmen guru, kerjasama pelajar dan pihak sekolah dalam menjayakan kajian tindakan juga amat diperlukan bagi menjayakan kajian tindakan yang dilaksanakan. Kejayaan kajian tindakan ini bukan sahaja membantu murid Tahun 1 Murni, malah membantu guru-guru lain dalam menjalankan kajian tindakan di sekolah-sekolah lain untuk meningkatkan kemahiran membaca dengan lancar. Diharapkan kajian seperti ini dapat mengurangkan masalah buta huruf di kalangan pelajar Malaysia.

Monday, August 2, 2010

Kajian Tindakan (KPR 5063)

Blog ini merupakan satu inspirasi daripada pembelajaran Subjek Kajian Tindakan (KPR5063), yang mana merupakan salah satu subjek yang diambil oleh pelajar Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi Sesi 2010/2011. Kursus ini adalah di bawah penyeliaan Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Gapor.